Usrah Perdana Anjuran Koperasi Kobeta Santuni Golongan Memerlukan
Pusat Konvensyen Koputri, Medan Tuanku, Kuala Lumpur Khamis | 26 November 2026
Koperasi Bersatu Tenaga Malaysia Berhad (KOBETA) telah menganjurkan Majlis Usrah Perdana Kumpulan Koperasi Medan Tuanku pada Khamis, 26 November 2026, bertempat di Pusat Konvensyen Koputri, Medan Tuanku, Kuala Lumpur.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Yasin dan doa selamat sebelum diteruskan dengan Ceramah Perdana yang disampaikan oleh Yang Berbahagia Ustaz Dr. Mohammad Nidzam Abdul Kadir, Pensyarah Kanan, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), bertajuk “Penyucian Jiwa”.
Dalam ceramah tersebut, beliau mengupas kepentingan penyucian jiwa serta berkongsi amalan-amalan yang boleh diamalkan dalam kehidupan seharian bagi membentuk peribadi Muslim yang lebih baik, meningkatkan keimanan dan mendekatkan diri kepada Allah SWT.
Majlis kemudiannya diteruskan dengan ucapan aluan oleh Pengerusi KOBETA, Dr. Nasution bin Ismail. Seterusnya, turut berlangsung penyerahan sumbangan zakat wakalah kepada tiga buah pusat kebajikan dan pendidikan terpilih dengan jumlah keseluruhan RM11,000, seperti berikut:
Pusat Jagaan Kanak-Kanak Yatim / Miskin Muhammad Al-Fateh – RM3,000
Kompleks Anak Yatim Darul Kifayah – RM3,000
KAFA Integrasi Masjid Darul Ehsan – RM5,000
Penyerahan zakat wakalah ini merupakan sebahagian daripada usaha KOBETA dalam menyantuni golongan yang memerlukan serta memperkukuh tanggungjawab sosial dan keprihatinan koperasi terhadap masyarakat.
Majlis diakhiri dengan jamuan makan tengah hari dan seterusnya bersurai. Penganjuran program ini diharapkan dapat menyemarakkan penghayatan nilai-nilai Islam, memperkukuh ukhuwah dalam kalangan warga Kumpulan Koperasi Medan Tuanku serta menyuburkan budaya kebajikan dan saling membantu dalam komuniti koperasi.
Hakcipta Terpelihara KOPERASI BERSATU TENAGA MALAYSIA BERHAD 2026